Friday, June 20, 2008

Euthanasia




https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjROMTl63SpZ9Cy1NqRMQn21pk3JY9Y4vxoMg2jPLEWvh_mfwBkdAz9HueuXqyY9m3BbArH-TrNabnfThbobva3JIyP2YrD6WPxPz-yBt_qGkN41LdgMbAKGMwqA9_kjaRdeUGJOkWHZZwP/s320/euthanasia_5225.jpg
Assalamualaikum wbt

Apakah yang anda fikirkan tentang perkataan "moral"? Sebut sahaja tetang moral, semua orang akan tafsirkannya sebagai isu yang berkaitan dengan persoalan sosial, keruntuhan akhlak dan sewaktu dengannya. Isu moral dibagikan kepada beberapa tajuk besar. Antaranya ialah:

1.     Alam sekitar
2.     Kehidupan (Euthanasia, hukuman mati, pengguguran)
3.     Diskriminasi (Jantina, Bangsa, dll)
4.     Etika perniagaan
5.     Seksualiti (Bersekedudukan, homoseks)
6.     Teknologi Maklumat

Apa yang menarik hati saya di sini ialah, perkataan "Euthanasia." Mungkin ramai dalam kalangan kita  belum pernah dengar perkataan ini. Termasuklah saya!

Euthanasia ialah menamatkan riwayat seorang pesakit di atas permintaan pesakit atau ahli keluarganya sendiri dengan tujuan meringankan kesengsaraannya. "Meringankan kesengsaraan pesakit"

Dengan bantuan sahabat saya di Tanta, beliau telah berikan saya sedikit sebanyak hukum dan syarak yang berkaitan dengan Euthanasia ini. 

Daripada tafsir ulama Muktabar, Syekih Atiah Saqar, secara ringkasnya beliau telah menyatakan bahawa:

Pesakit yang menghidap sebarang penyakit tidak boleh membunuh dirinya sekalipun sakitnya itu tidak ada harapan lagi untuk sembuh. Begitu juga pesakit yang takut sakitnya itu akan berjangkit kepada orang lain dilarang membunuh dirinya. Adapun sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh - sedangkan ajal itu milik Allah. Dia Maha Berkuasa untuk menyembuh sebarang penyakit - maka diharamkan ke atas pesakit untuk membunuh dirinya dan di haramkan juga ke atas orang lain untuk membunuhnya sekalipun dibenarkan oleh pesakit tersebut. Keizinan dari pesakit tidak menghalalkan haram kerana dia bukan empunya roh hingga membolehkan dia mengizinkan selainnya untuk membunuhnya.

Berdasarkan beberapa firman Allah SWT juga menjelaskan tentang haramnya membunuh diri atau membunuh orang lain tanpa sebab yang tertentu. Antaranya ialah:

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” Surah An-Nisa': 93

"Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.” Surah Al-An'am: 151

“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).” Al-Israa': 33

Kesimpulannya, membunuh pesakit yang mana tidak diharap sembuhnya penyakit yang dihidapi haram dari segi syara' sekalipun dengan izin pesakit. Ini termasuk dalam membunuh diri secara langsung atau sebaliknya. Atau memusuhi orang lain jika pembunuhan itu di lakukan tanpa izinnya. Sesungguhnya roh itu milik Allah secara mutlak. Tidak boleh dikorbankan melainkan pada perkara yang dituntut syara' umpama berjuang pada jalan Allah dan lain-lain.

Apa-apa kesalahan, tolong betulkan. Ini hanyalah sedikit sebanyak ilmu tidak berapa yang dapat saya kongsikan.

Komen dari Amin Mansor:

Menurut Panel Kajian Syariah JAKIM Bil.PKS 5/18/PKS/97 bertarikh 10 -11 Jun 1997 mengenai pengharaman enthanasia.

i. Haram membunuh tanpa hak. Berusaha mempercepatkan kematian dengan memberhentikan rawatan atau mengambil ubat-ubatan (racun) adalah umpama membunuh diri. Membunuh diri bermakna melawan kehendak Allah dan merampas haknya.  

ii. Tugas seorang mukmin (doktor) adalah menolong saudaranya (pesakit) di dalam perkara kebaikan. Membantu mempercepatkan kematian tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi tergolong dalam perkara yang mendatangkan keburukan dan dosa.

iii. Harus bagi para doktor memberikan ubat penahan sakit kepada pesakit jika tiada pilihan lain sekalipun ia mempunyai kesan sampingan yang boleh mempercepatkan kematian."