Tuesday, May 22, 2012

Apakah Kayu Ukur Kejayaan Seseorang?

"Bukan aku tak nak sambung belajar, tapi kau sendiri boleh tengok kenapa aku tak dapat sambung. Adik beradik aku ramai. Mak ayah aku dah uzur. Kerja biasa-biasa saja. Adik-adik aku perlukan aku untuk support mereka. Sebab itu terpaksa aku kerja ni." 


"Aku mungkin akan sambung belajar. Tapi biarlah aku stable dulu sikit. Sekurang-kurangnya biar lepas adik-adik aku sekolah. Kau doakanlah aku."

"Babe, bodoh sangat ke aku.. Sampai ada orang yang menghina aku sebab aku tak belajar tinggi macam korang?"

Aku senyap. Tersentap dan terpukul dengan soalan beliau. Aduhai.. Sepatutnya bila kita belajar tinggi, ego kita makin tunduk. Tapi terbaliklah pula dunia sekarang!


Begitulah nasib seorang kawan sekolah aku. Impiannya untuk sambung belajar harus digadaikan buat sementara  untuk tanggungjawab yang lebih besar. Dia seorang yang solehah. Taat pada mak ayah dan sangat bertanggungjawab. 


Aku yakin, ramai yang senasib dengannya. Bukan mereka tidak mahu kehidupan yang lebih baik. Tipulah siapa tak nak kehidupan yang lebih baik. Belajar sesuatu bukan bererti kena masuk IPT. Tidak semestinya ambil diploma, ijazah mahupun PHD. Seandainya kita tidak memandang ilmu itu perlu dijamin dengan sekeping sijil, nescaya kita akan saling hormat menghormati kerana ilmu yang masing-masing ada.


Ilmu Allah SWT itu luas. Seandainya semua jenis lautan menjadi dakwat untuk menulis ilmu-ilmu Allah, tidak akan mampu habis menulis ilmu-ilmu itu!


Sekiranya kejayaan seseorang diukur dengan sekeping sijil, pastilah orang yang tak sambung belajar tak akan berjaya! Tipulah, aku tengok ramai yang mampu berjaya tanpa sekeping sijil.


Kejayaan kita kadang-kala tidak perlu sangat kongsi dengan orang. Jika untuk diambil ikhtibar, mungkin itu dibolehkan. Namun, seandainya ia untuk menunjuk-nunjuk, lebih baik kita diam saja.


Beza antara orang yang berjaya dan tidak.

Aku lihat ramai orang yang berjaya, majoritinya akan bercakap tentang kejayaan mereka bila perlu. Sebaliknya orang yang berjaya olok-olok, akan sentiasa ceritakan kejayaan dia yang dulu-dulu.


Bagi aku sebuah kejayaan bukan letak pada apakah pencapaiannya. Tapi lebih kepada ketenangan hati. Bayangkan sepasang ibubapa yang kaya raya, tetapi mempunyai anak-anak yang tidak boleh pakai dan sepasang ibubapa yang sederhana, namun anak-anak yang mampu menjadi penyejuk mata dan hati.. Siapakah sebenar lagi berjaya.


Rumahtangga Rasulullah SAW menjadi contoh pada ummat manusia dari masa baginda masih hidup sehingga pada hari ini. Kejayaan keluarga Rasulullah SAW dilihat bagaimana harmoni sesebuah rumah tersebut. Rasulullah SAW tiada banglo atau apa-apa yang melambangkan kekayaan duniawi, hanya kerendahan hati dan kegembiraan di antara mereka sahaja menjadi kayu ukur kejayaan sehingga ramai orang cemburu melihat mereka.


Semua kejayaan itu lebih kepada pencapai ketenangan hati.. Itulah sebenarnya kejayaan yang hakiki. Kejayaan dunia dilihat pada harta benda yang banyak sedangkan pada dasar hati berada dalam keadaan resah dan gelisah.


Siapalah kita untuk heboh-hebohkan sangat kejayaan sekiranya kita sentiasa ingat, Allah boleh tarik bila-bila sahaja nikmat kejayaan kita.


Dimanakah letaknya kejayaan kita sebenar? Di hati atau di harta kekayaan?