Sunday, November 27, 2011

Paksa Rela Masuk Tandas Awam

Setiap kali ingin masuk tandas awam kita akan fikir dua-tiga kali untuk menggunakannya. Sekiranya betul-betul tak "tahan" baru kita sanggup masuk tandas awam, itu pun secara paksa rela.

Rata-rata tandas awam di masyarakat kita ini kotor. Saya teringatkan satu "memo" dalam salah satu tandas awam, bunyinya begini "Tinggalkan keadaan tandas sebagaimana anda ingin jumpa keadaan tersebut."

Tidak pasti pula tandas lelaki macam mana, tapi tandas perempuan saja pun sudah "menakutkan" kita. Tidak boleh hanya mengharapkan cleaner saja lakukan semua kerja pembersihan. Sebaliknya kita sendiri yang sama-sama jaga kebersihan tersebut.

Apa yang kita ingin temu ialah keadaan tandas yang bersih. Begitu juga dengan orang lain. Posting kali saya rasa perlu sedikit terbuka, mungkin? Walaupun ia sedikit memalukan tapi perlu diberitahu. Kepada kaum lelaki yang baca, pastikan ia disampaikan kepada isteri, anak-anak perempuan mahupun adik-adik perempuan.

Menjaga kebersihan adalah satu amanah dari Allah jua. Bukankah Allah itu Bersih dan Dia suka yang bersih-bersih? Kita selalu tekankan makanan yang bersih, tempat tinggal yang bersih, tandas rumah yang bersih tapi apabila ke tempat awam semuanya dilepas-tangan sebab kita tak rasakan ia adalah tanggungjawab kita. 

Pernah dalam perjalanan pulang ke KL, saya singgah di satu surau untuk tunaikan solat. Tandas sangat kotor, lampin bayi bersama "isi"nya sekali merata-rata. Sedangkan itu tempat beribadat. Mungkin tiada pihak pengurusan masjid yang bertanggungjawab untuk membersih tapi salah kita sebab tinggalkan lampin bayi macam tu.

Tahap kekotoran tempat awam mencerminkan mentaliti masyarakat, benar? Cuba kita lihat negara yang maju, mereka diajar untuk buang sampah di tempat yang sepatutnya bukan merata-rata tempat. 

Untuk tidak jadikan entri ini terlalu panjang, sedikit ingatan buat diri sendiri serta sahabat-sahabat apabila menggunakan tandas awam:

1. Pastikan ia bersih sebelum keluar, tidak tinggal sebarang khazanah dalam tandas tersebut.
2. Lampin bayi, tuala wanita, pentiliner hendaklah dibungkus baik-baik dan dibuang baik-baik. Sekiranya mampu, basuhkan ia sebelum buang. Sentiasa sediakan kertas recycle untuk pembungkusan-buang. Selalunya saya ternampak 3 benda ni bersama... ah. Tidak bolehkah bungkus secara baik-baik? Ia memalukan dan membahayakan. Mana tahu ada orang yang tak baik ambil "barang" tersebut dan buat macam-macam seperti sihir? Nak salahkan siapa?
3. Biasanya tandas awam akan menyediakan dua jenis tandas iaitu jenis cangkung dan duduk. Bagi mereka yang tak biasa guna tandas jenis duduk (saya tak tahu macam mana nak jelaskan), ada yang sanggup bercangkung atas tu bersama kasut dan tak cuci balik. Kesan tapak kasut mampu menyebabkan orang lain jijik untuk menggunakannya. 
4. Dan tahukah anda, pernah ada kes kemalangan di mana tandas jenis duduk itu pecah kerana tidak mampu terima berat pengguna. Sebaik-baiknya gunalah tandas yang jenis sesuai dengan "kemampuan" anda.
5. Tidak terlalu lama gunakan tandas awam. Sebaik-baiknya percepatkan masa penggunaan tandas tersebut. 
6. Tidak membazirkan air dan tisu.
7. Sekiranya tiada tong sampah disediakan, berusahalah untuk buang "barang berharga" anda di tong sampah tempat lain bukan di lantai tandas.

Cuba renungkan, adakah selama ini kita gunakan tandas awam seperti gunakan tandas di rumah sendiri? Andai semua orang sama-sama jaga tandas awam bersama para cleaner Insya Allah tandas akan bersih.

Selamat beramal. Semoga mendapat sedikit manfaat! 


:)




Wednesday, November 23, 2011

Ayam Madu

Kita selalu ditekankan tentang makna memberi dalam kehidupan. Tidak pasti ditekankan oleh siapa. Mungkin dalam kebanyakan ilmu termasuk al-Quran dan hadis memberi ini menjadi topik besar. Orang kata, tangan yang memberi itu lebih baik dari menerima. Syukur pada Allah, saya diberi peluang untuk berada dalam kalangan orang-orang yang tak habis-habis bekerja semata-mata untuk memberikan sesuatu untuk orang lain. Perjuangan mereka begitu hebat, sehingga saya sendiri masih belum mampu mengikuti mereka, belum mampu...

Kerja pagi sehingga lewat malam, setiap hari tanpa rasa penat. Ke sana ke sini, buatkan majlis ilmu, program demi menyelamat dan menyampaikan ilmu Islamiah kepada ummat manusia. Manusia apakah ini.. Disamping sibuk di tengah kerja-kerja beliau, sempatlah ambil kisah tentang mereka-mereka yang dalam kesusahan. Semuanya dilakukan kerana Allah. 

Siapa sangka, di Malaysia yang serba kaya ini masih ada lagi mereka yang bernasib kurang baik. Semalam saya dan sahabat-sahabat, pergi ke pasar malam. Belikan makanan untuk dikongsi bersama. Seorang adik bernama Khadijah (bukan nama sebenar) ikut kami. Kami belikan beberapa makanan untuknya termasuklah sayap ayam madu.

Beliau seorang dari keluarga yang susah. Adik beradik 14 orang. Tidak pasti pula apa pekerjaan ibu bapanya. Apa yang saya tahu ialah rumah beliau sangat daif sehingga tiada air selama setahun! Setahun.. Kalau kita sehari pun dah resah. Apatah lagi dengan setahun?

Semasa makan sayap ayam, beliau makan dengan sopan-sopannya. Jikalau kita, sudah pasti ayam itu akan digigit-gigit tanpa rasa malu. Sebenarnya dia bersopan-santun sebab giginya rosak. Mungkin disebabkan oleh ketiadaan air di rumahnya menjadi faktor dia kurang menjaga gigi. Saya tak terfikir pula pasal gigi beliau lalu usik-usiknya. Serba salah pula jadi bila sahabat saya memaklumkan kenapa beliau tak gigit ayam. 

Bukanlah saya nak fokuskan ketiadaan gigi beliau. Tapi percayakah kita bahawa masih ada mereka seperti ini? Sebenarnya ramai yang dalam kesusahan tapi berapa banyak dari kita turun padang dan tolongkan mereka bersungguh-sungguh?

Saya teringatkan seorang abang yang dihormati, warga Global Peace Mission. Kata beliau apa yang penting bukanlah jumlah wang yang diterima. Tapi rasa ingin menolong, ingin menderma itulah sepatutnya dipupukkan dari semasa kecil dan berterusan kerana ia patut menjadi amalan untuk jangka yang panjang. 

Mungkin kita tidak mampu buat perkara besar-besar. Mungkin juga tiada harta benda yang banyak. Tapi jika hati nak, apa-apa pun kita boleh lakukan terutamanya dengan hati. 

Saya berdoa semoga saya dan anda-anda seperti mereka diatas. Sabar dan tabah dalam memberi pada orang lain. Istiqamah itu penting. Kata-kata seorang ustaz, kita mudah mendapat hidayah untuk kembali ke pangkal jalan. Namun, begitu sukar untuk menerima hidayah untuk istiqamah dalam urusan. Salah siapa? Salah kita atau Tuhan? Tuhan tidak pernah salah, salah kita kerana terlalu ego sehingga tidak berdoa mendapatkan hidayah untuk istiqamah.

Semoga Allah rahmati. 

Assalamualaikum wbt

Sepatutnya dah lama saya update, tapi belum update lagi. Sedikit sibuk dan penat sebab tu blog dibiarkan.




Untuk bantuan mangsa banjir Muslim Thai di Bangkok yang kutipan dibuat melalui blog dan FB, saya telah serahkan duit tersebut pada ibu saya. Alhamdulillah sudah diagihkan bersama daging korban pada raya haji hari itu. Makanan dibeli dan sebahagian dimasak untuk mereka. Nasib baiklah masih ada tempat-tempat yang belum banjir. Alhamdulillah.


Kali ini nampak daging korban betul-betul diedarkan pada mereka yang memerlukan. Alhamdulillah. 

Bagaimana pun, bantuan ini tidak begitulah senang. Mereka mempunyai beberapa masalah seperti tidak cukup makanan kerana terlalu ramai mangsa banjir Muslim di sana. Pada minggu lepas, 8/11/2011 ayah saya ada hantar gambar bantuan dan buat sedikit "report" 360 set makanan diedarkan. Namun tak cukup.

Untuk pengetahuan para sahabat sekalian, barangan di sana sudah naik harga. Itu pasal duit yang dikutip dimencukupi. 

Selain itu, bantuan juga sukar untuk sampai ke tempat-tempat tertentu kerana keadaan yang banjir teruk. Kereta tak mampu untuk masuk ke kawasan tersebut melainkan truck askar atau bot saja.

Bantuan masih dijalankan tapi sedikit slow.

Jadi saya minta jasa baik sahabat-sahabat, teruskan berdoa mereka di sana agar kuat menghadapi dugaan ini.

Terima kasih kepada yang membantu. Semoga Allah balas jasa baik kalian. Wallahualam. 

Thursday, November 3, 2011

Ibu, rindu teramat

Kebelakangan ni saya asyik teringatkan mak saya. Apa khabar agaknya? Walaupun setiap hari call rumah tapi rasa macam masih belum kurang lagi rasa rindu. Itu rutin saya dan adik yang berada di Jordan. Kami akan call rumah semata-mata cakap dengan mama. Dua-tiga kali sehari. Tiada orang lain call.

Saya antara orang yang rasa tidak begitu banyak kenangan manis bersama mak. Sudah terbiasa meninggalkan rumah. Sudah 10 tahun jarang-jarang bertemu. Tapi entah kenapa kebelakangan ini saya rasa amat rindu. Rindukan seorang mak. Bukankah selama ini saya (kononnya) kuat tanpa mak? Tapi sebenarnya itu hanya tipu diri sendiri. Sungguh saya tak kuat tanpa mak. Saya rindu mak. 

Kali terakhir saya jumpa mak masa saya convo. Minggu lepas. Malam itu saya demam. Sejuk mengigil sehingga sakit tulang belakang, menangis. Ketika itu emak ada bersama. Jelas raut wajahnya yang bimbang akan diri ini tapi dalam masa yang sama masih menunjukkan kekuatan.

Saya tak pernah tengok mak menangis sebab saya dan adik-adik sakit. Tak pernah tengok mak menangis bila kami meninggalkan beliau untuk belajar. Sejak besar saya tak pernah menangis peluk mak. Sekuat pun salam, cium-cium dan terus melangkah tanpa menoleh. 

Kalau adik saya, dia akan menangis sambil peluk mak. Mak? Selamber dia, tak akan menangis walau sedikit.

Sejak kerja, baru saya tahu dan rasa penat lelah mak dan ayah selama ini. Kadang-kadang terasa kesal bila mak minta diurut dan saya tak buat bersungguh-sungguh. Sekarang pula duduk jauh..Hanya mampu call rumah setiap hari. Lakukan apa saja yang dia redai. Sungguh saya rindukan mak. 

Saya bersyukur mak masih diberikan umur yang panjang, masih bersama saya, ayah dan adik-adik. Saya tak begitu nampak penat lelah mak disebabkan saya jauh dengan beliau. Tapi saya yakin, mak begitu kuat hadapi segala-galanya. 

Saya tak pasti apa yang saya boleh buat untuk membalas segala jasa mak. Sungguh saya tak pasti.

Sekali lagi saya selalu pesan kat sahabat-sahabat, bila kalian masih ada peluang bersama mereka, mendekati mereka.. Janganlah lukakan hati mereka. Sekiranya tak boleh balik, call lah mereka selalu. Jangan hanya sedar bila mereka tak bersama kita.

Berbaktilah pada ibu bapa sebagaimana kita ingin anak-anak kita berbakti pada kita. Lakukannya sekarang.  

Itulah mak saya. Pengorbanan begitu besar, tiada tandingan. Kekuatannya mengatasi segala kekuatan raja-raja. Ya Allah, panjangkanlah umur ibu ku, ayah ku. Sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi ku. Kuatkanlah mereka.. T_T