Assalamualaikum wbt

Saja aku tulis pasal urusan perkahwinan aku. Sebab takut lupa. Lambat lagi aku nak kahwin tapi aku tak banyak cuti jadi dah survey sikit demi sedikit. 

Di sini aku ingin tulis tentang maklumat urusan aku yang bukan warganegara Malaysia dan ingin berkahwin di Malaysia. Begini senarionya:

Bakal suami (Rahsia. Siapa tahu diam-diam saja)    
- Lelaki (of course la)
- Islam
- Warganegara Malaysia
- Ore Kelate


Bakal isteri (Aku)
- Perempuan (heh)
- Islam
- Bukan warganegara. Warga Thailand (Berada di Malaysia dengan memegang permit kerja)
- Orang Bangkok

Setakat ini aku dah pergi tiga tempat di Kuala Lumpur untuk bertanya. Apa-apa pun, Insyallah akan akad nikah di Kelantan di mana undang-undang pernikahannya berbeza  dengan negeri lain. 


Kedutaan Thailand (di Ampang) hanya memerlukan :

1. Akuan bujang dari Pejabat Wilayah bakal pasangan yang bukan warganegara. 


JAIS memerlukan :

1. Akuan bujang dari syarikat yang aku kerja
2. Kebenaran pernikahan dari kedutaan (Melalui surat Akuan Bujang)


Imigresen Malaysia memerlukan :
1. Borang permohonan nikah dengan bukan warga negara (boleh minta dengan imigresen)
2. IC/ passport bakal suami dan isteri. 


Itu maklumat yang aku perolehi.

Maklumat dari segi undang-undang Kelantan pula hanya memerlukan :
1. Surat kebenaran dari Pejabat Agama di Thai. 
2. Dan lain-lain itu biasalah. 

Jika di Bangkok, sekiranya Muslim Thai ingin berkahwin, memadai hanya dengan kebenaran wali selepas itu daftar kahwin seperti biasa. Tidak seperti di Malaysia kena dapatkan kebenaran dari pejabat agama juga. Ada kebaikannya sebab semua tu akan melindungi hak masing-masing sekiranya berlaku penceraian. 

Ada yang mencadangkan supaya dapatkan surat dari Selatan Thai sebab mereka akan tulis dalam bahasa Melayu terus. Tapi setakat ini aku nak cuba dapatkan surat kebenaran kahwin tu dari Pejabat Agama di Bangkok juga. 

Itu maklumat yang aku dapat. Setakat ni belum lagi ada maklumat yang terusnya.

Itu cara orang Islam. Kawan aku orang Budha. Procedure yang beliau bagitahu aku lain pula caranya. Iaitu :

Bakal suami : Budha, warga Thai.

Bakal isteri : (Tak pasti agama apa), warga Malaysia


Kata beliau kena dapatkan :

1. Surat Akuan Bujang. 
2. IC 
3. Passport
4. House registration

Semua di translate. 

Bawa ke semuanya ke Ministry of Foreign Affairs untuk minta kebenaran bagi berkahwin di luar negara. 

Selepas itu dapatkan pengesahan di Kedutaan Malaysia di Thai. 

Beres semua di Thai, dapatkan pengesahan/ kebenaran dari Imegresen di Putrajaya. 

Hm, setakat ini aku belum tahu yang mana satu perlu aku buat betul-betul. Tanya ramai orang jawapan semua berbeza-beza. 
Nanti ada update aku tulis lagi. Saja mana tahu ada orang nak kahwin macam aku, sekurang-kurangnya dapat bayangan sikit. 


Tapi, kena ingat.. Kahwin dengan bukan warganegara banyak kos terutamanya kos perjalanan. 

Kesian bakal suami aku. Semoga tiada penyesalan di hatinya..










Saturday, November 10, 2012

Elak Menjadi Muflis dan Berhutang

Baru-baru ini surat khabar mengeluarkan kenyataan bahawa seramai 45,000 orang muda umur bawah 35 tahun muflis. Peratusan pemuda muflis tertinggi adalah daripada kaum Melayu.

Bagi aku, kita jangan salahkan kerajaan sebab barang mahal atau sebab gaji kita kecil. Jangan salahkan orang lain tapi harus lihat pada diri sendiri, sejauh mana kita mengurus kewangan kita. 

Ada orang yang gajinya kecil, tapi cukup, bahagia dan tidak perlu berhutang. Sebaliknya ada orang yang gajinya besar tetapi bulan-bulan tak cukup.

Di mana salahnya? 


Kebanyakkan dari kita tak tahu apa yang keperluan dan apa yang kemahuan. Bagi aku kita perlu bahagikan antara kemahuan dan keperluan (wants and needs) dan sentiasa berkira-kira. Apa yang penting, menahan nafsu untuk berbelanja perlu tinggi. Kalau boleh sentiasa bawa kalulator. Setiap kali nak membelanja, kira dulu, "Mampukah aku membeli benda ni?" "Berapa duit yang aku tinggal" dan sebagainya. 

Setiap kali dapat gaji, buatlah plan kewangan. Apa yang sudah pasti, kena ada duit simpanan. Duit simpanan perlu ditetapkan terlebih dahulu sebelum perbelanjaan. Bukan sudah habis kira untuk berbelanja baru ada quota untuk menyimpan (ini yang aku selalu diingatkan oleh Mama aku)

Senaraikan terdahulu perkara-perkara yang akan wajib dibelanjakan. Ini adalah apa yang aku guna, hanya berkongsi. Boleh tambah sendiri sesuka hati. 


1. Duit simpan bulanan

2. Sewa rumah

3. Bil air, elektrik, internet

4. Bill telefon

5. Minyak kereta (yang digunakan untuk bekerja dan sosial)

6. Parking

7. Toll

Tujuh perkara ini antara kewajiban yang aku bayar setiap bulan. Selebihnya aku akan bahagi 30 hari. Jadi setiap hari aku ada duit sebanyak contoh RM30 untuk berbelanja. Jadi maksimum aku bawa bersama adalah sebanyak itu sahaja. Baki setiap hari akan dibawa balik dan disimpan. Jangan sekali-kali cuba menghabiskan RM30 pada hari tersebut. 

Mak aku kata, kalau duit tak cukup makan sahajalah apa yang ada walaupun nasi dengan kicap. Jangan buat pinjaman. Kisahnya, pekerja mak aku suka membasir. Hari-hari beli baju baru, beli baju baru untuk anak (hampir setiap hari) sampai mak aku dah penat mengingatkan beliau. Apa yang terjadi sekarang? Beliau menghilangkan diri sebab sebenarnya dah buat pinjaman haram (Ala-ala Ah Long di Bangkok). Sehingga suaminya terpaksa jual kereta bayar hutang untuk isteri. Itu pun belum habis..

Sebab inilah mak aku takut sangat. Takut anak-anak membazir, jadi hari-hari aku diingatkan.

Kalau ikut mak aku, beliau suruh simpan 1k setiap bulan. Tapi gaji aku kecil saja jadi aku simpan sebanyak mungkin yang aku mampu. Tidaklah sampai 1k. 

Menyimpan duit, bukan bererti kita tak boleh beli apa-apa langsung. Boleh, tapi elak dari berhutang. Dan seperti yang mak aku kata, kalau tak ada duit, makan sahaja nasi dengan kicap sekali pun. Dan yang penting, mengenal pasti keperluan dan kemahuan kita sebelum buat apa-apa keputusan. 

Apa yang aku perasan, yang baru bekerja ni dah mimpi nak beli macam-macam. Handphone nak canggih-canggih, kereta nak mahal-mahal, handbag mahal, kasut mahal, makan mahal-mahal, nak lepak tak mainlah kedai tepi jalan tapi Starbug saja, kad kredit dan lain-lain lagi. 

Satu hari aku dengar radio Era kalau tak silap yang membincangkan tentang perkara ini. Pemuda umur 24 tahun tapi sudah ada dua kereta. Akibatnya tak boleh buat pinjaman apa-apa dah sebab bank tak lepas. 

Buatlah financial planning, sahabat-sahabat. Kalau tak mampu nak buat simpanan, jangan bebankan masa depan kita dengan hutang. 

Selain buat financial planning, kuatkan beribadat. Solat jangan tinggal, tambah sikit solat Dhuha dan yang penting sentiasa bersedekah. 

Boleh baca tip-tip pengurusan kewangan di internet. Jika di FB aku suka follow seorang penulis buku PTS. Nama beliau Shamsuddin Kadir. Boleh subscribe-nya beliau sentiasa berikan info pada kita. Selain itu, boleh buka website Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pelbagai info pengurusan kewangan

Semoga berjaya.








Sunday, August 5, 2012

Ikan Laga ku Beranak | Part 2

Sambungan cerita pada entry yang lepas. Aku tulis ini mengikut pengalaman aku. 

Pada kali pertama anak ikan aku tak berjaya dibiakkan. Faktor paling besar ialah:

1. Air terdedah pada angin yakni aquarium tidak ditutup tambah-tambah pula aku pergi tiup-tiup sebab cari telur. Dengan cara itu sebenarnya aku telah merosakkan sarang-sarang buih.

2. Air sentiasa bergerak-gerak. Pada asalnya air yang mempunyai sarang buih perlu berada dalam keadaan tenang. Masa tu aku sesuka hati pergi kacau-kacau, angkat bekas mak dia la apa la. Hahaha. Maka gagal lah percubaan membiakkan anak ikan laga ku pada kali pertama. 

Jadi aku pun bagilah induk-induk ikan aku rehat. Bagi makan yang cukup. Selepas 3-4 hari, aku tengok si Zara' ada telur lagi. Masa tu Ghufran dan Zara' masih bertentangan mata. 

Aku pun masukkan Zara' dalam bekas Ghufran. Ketika itu Ghufran dah mula buat buih-buih. Malas dah aku tunggu Ghufran dengan Zara' bertindak seterusnya. Aku pun keluar pergi mana entah, balik-balik telur dah penuh kat sarang! Masya Allah, cepat betul.



Lepas tu aku pun cepat-cepat asingkan ibunya. Ambil gambar dan post kat FB. Sepupu aku kat Bangkok mula jadi Penasihat aku. 

Katanya air kena sikit, nanti terlalu dalam untuk bapa ikan. Sebab bila telur jatuh, bapa ikan akan kutip dan letak balik kat buih-buih. Aku pun cuba buang air sikit demi sikit, aku kurangkan dalam 3 inci. Tapi kena buat dengan cara selembut mungkin, jangan sampai sarang buih pecah. 

Dan kalau air terlalu dalam juga, ia bahaya untuk anak ikan baru nak "terbang" nanti dia lemas. 

Aku jumpa video anak ikan laga yang baru lahir, boleh klik di sini

Aku hairan. Kenapa dilahirkan sebagai anak ikan tapi boleh lemas dan kenapa perlu dia terbang. Erk, ini anak ikan ke anak burung. Hahah. Bila dah jadi anak baru aku faham sebab apa. Anak ikan laga yang baru lahir teramatlah kecil. Sampai ambil gambar pun tak nampak, tapi ye la kan, aku pakai camera phone saja lainlah DSLR. Dia akan jatuh ke bawah, dan cuba "terbang" iaitu cuba naik atas balik. Ia sama ada naik sendiri atau ayah dia akan tolong. Tapi anak terlalu banyak, penat juga Ghufran nak buat semua sendiri. 

Selain itu, air juga kena tenang dan tak kena angin. Aku pun pinjam penutup aquarium ikan oscar dengan mengharapkan tiada percubaan membunuh diri, alhamdulillah. Ikan Oscar aku behave saja.

Selepas tiga hari telur menentas, kepala anak ikan masih kat buih-buih. Keadaan mereka dalam bentuk menegak macam kena gantung gitu. Dan ayah dia dah bertugas, menyelamatkan anak-anak ke tempat yang sepatutnya. 

Kesian betul tengok Ghufran, penat. Tapi tulah pengorbanan seekor ayah ikan. Ekekek. Ketika ini puasakan Ghufran.

Lepas 3-4 hari, anak ikan sudah mula boleh berenang sendiri. Masa ni bahaya sebab ayah ikan tengah lapar takut dia tukar anak-anak dengan jejentik. Asingkan mereka secepat mungkin.

Aku rasa anak ikan aku ada dalam 70-80 ekor lebih. Teramatlah kecil. Aku hanya buh pokok-pokok dan mereka akan cari makan sendiri. Ketika ini juga jangan dedahkan anak ikan pada matahari, sebab cahaya matahari boleh rosakkan mata dan organ dalaman anak ikan. 

Semoga hiduplah anak-anak ikan aku. Sekarang aku balik kampung, sebulan kena tinggal. Risau juga tapi tawakkal kepada Allah saja.





Tuesday, July 31, 2012

Ikan Laga ku Beranak | Part 1

Assalamualaikum wbt

Kali ini aku nak tulis pasal ikan laga pula. Tapi ikut pengalaman aku sahaja. Ikan laga ku nama Ghufran. Sudah empat bulan Ghufran bersama aku. Aku ni tak pasti sangat jenis-jenis ikan laga. Tak tahu pula si Ghufran ni Half Moon ke Full Moon ke apa. Tapi aku rasa Half Moon.



Masa aku beli Ghufran, dia seekor saja. Aku tengok dia buat buih punyalah banyak. Bila ikan laga jantan buat buih, itu bermakna dia ingin bersenyawa. Tapi aku tak cari-cari juga pasangan untuk dia. Sehingga aku ditegur oleh orang rapatku, berdosa buat macam tu kat Ghufran. Hari tu juga aku pergi cari pasangan untuknya.

Si Ghufran ni berwarna merah biru. Aku cari pasangan untuk dia warna pink gitu. Comel, kan? Pasangannya dia beri nama Zara'. Kecil sangat si Zara' nih. Tapi itulah yang aku rasa sesuai dengan Ghufran. 

Salah satu sebab kenapa aku tak cari-cari pasangan untuk Ghufran ialah banyak songehnya ikan ini nak beranak. Setakat yang aku baca dalam internet, kena guna daun tu daun ni.  Kena ada gelas plastik, kena ada pokok dan lain-lain. Aku pula jenis kemalasan sikit bab-bab barang banyak nih. 

Masa aku beli Zara', aku terus beli aquarium baru. Kecil sikit dari aquarium ikan oscar. 

Ikan laga ni tak boleh terus masukkan jantan dan betina sekali. Kena biar dia bertentangan mata dulu. Jadi aku letak Ghufran dan Zara' dalam aquarium besar tu. Tapi Zara' letak dalam balang kecil satu lagi. Mula-mula aku letak Ghufran dalam bekas kecil. Lupa pula yang dia perlukan ruang untuk buat sarang buih. 



Sepatutnya bagi ikan bertentangan mata sekurang-kurangnya tiga hari. Tapi aku tak sabar-sabar nak tengok mereka bekerja bersama, hehe. Jadi tak sampai separuh hari pun aku masukkan Zara' dalam tempat Ghufran. Masa tu aku tergelak tengok Ghufran gelabah. Ke sini ke sana, pening aku tengok si Ghufran. Si Zara' pula macam jual mahal. Tak peduli pun si jantan yang mengelabah tu. 2-3 jam juga Ghufran mengelabah, akhirnya aku asingkan kembali Zara' dan Ghufran.

Orang kata kena letakkan glass plastik supaya ikan jantan buat sarang bawah tu.. Aku letak juga. Tapi Ghufran tak buat pun sarang dalam tu. Aku pun naik konfius dengan ikan aku ni. Ghufran buat buih merata tempat. Itu bermaksud dia dah bersedia nak bersenyawa.

Oh, bukan ikan jantan sahaja perlu bersedia, kena tengok si dara pula bagaimana. Sekiranya ikan laga betina bersedia, boleh lihat pada badannya yang ada garis putih (tapi Zara' tak ada pun. Atau sebab dia dah berwarna pink jadi susah nak bezakan.) Selain garis pada badannya, tengok juga biji telur warna putih yang berada di bawah perutnya.

Lupa pula, masa asingkan ikan jantan dan betina itu, sebaiknya kurangkan tahap air. Sebab nanti bila telur dah keluar, ikan jantan akan kutip telur letak kat sarang tersebut. Sekiranya air terlalu dalam, bapa ikan akan kepenatan dan ia terlalu dalam untuk anak ikan yang akan dilahirkan nanti (Part ini nanti sambung entry seterusnya)

Dalam masa dua hari bertentangan mata, bila aku rasa kedua-dua pihak dah bersedia, aku masukkan Zara'. Macam biasa, Ghufran mengelabah. Ke sini sana.. Lama-lama dia dah mula kejar Zara' kejar punya kejar aku pun tak larat nak tunggu.

Sampai petang esok hari, aku tengok Ghufran sedang lilit badan Zara' dan telur-telur putih dah keluar. Teruja sangat masa tu! Lepas aku rasa telur dah keluar, aku asingkan Zara' sebab dia akan makan telur sendiri. Dalam masa yang sama Ghufran kutip telur-telur tersebut letak di sarang buih.




Zara' diasingkan dan diberi makan cukup. Ketika ini Ghufran perlu berpuasa. Telur kali ini tak banyak. 

Macam-macam aku buat tanpa ketahui. Aku kacau air dia, siap tiup-tiup buih tu lagi sebab nak tengok mana letaknya telur ikan.

Sebenarnya salah! Dan ya, kali pertama gagal memperoleh anak. Sebab apa? Sebabnya telur ikan laga perlu berada di dalam air yang tenang serta dipenuhi dengan pokok-pokok dan juga dalam bekas yang ditutup tidak berangin.

Maka kali pertama aku gagal membiakkan ikan laga.

Kali kedua? Insya Allah pada entry seterusnya.




Sunday, July 22, 2012

Ikan Guppy

Assalamualaikum wbt

Ramadhan Kareem, sahabat-sahabat. Semoga sentiasa dalam rahmat Illahi. Setiap kali Ramadhan, kita mengharapkan Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya. Semoga Allah menerima doa kita semua. 

Kali ini saja nak tulis tentang ikan. Sekarang aku bela ikan lebih kurang 27 ekor. 24 ekor ikan Guppy, seekor ikan Oscar dan dua ekor ikan Laga. 

Ia menjadi hobi ku sejak enam bulan yang lalu. 

Pernah baca buku Ustaz Pahrol, katanya lebih kurang, ajarlah anak-anak memelihara binatang agar dapat memupuk kasih sayang. Ya, kasih sayang antara manusia dan binatang. 

Dan aku salah seorang yang diajar memelihara binatang sejak kecil. Antaranya ialah, ikan, burung, arnab, tikus (Tikus yg orang buat bedah kt lap tu. Warna putih, ekor merah), hamster, guinea pig, tupai, kucing, ayam dan burung puyuh.. Er, setakat itu saja rasanya yang pernah aku bela. Em, tambah satu lagi, cacing. Haha.


Ikan Guppy 

Kali ini aku akan menulis tentang ikan Guppy. Ikan Guppy adalah antara ikan yang senang bela. Ia adalah ikan air tawar. Senang beranak dan senang jaga. Tak perlu banyak barang dan tak banyak songeh. Ikan guppy aku hanya berbekalkan oksigen dari air dan pokok-pokok sahaja. Namun, lebih baik ia dibekalkan oksigen supaya ikan guppy lebih sihat. Sebaik-baiknya ia ditempatkan diluar rumah kerana angin akan menambah oksigen dalam air. Ikan guppy akan lebih sihat jika berada dalam tempat redup. Walau bagaimanapun, apa-apa binatang ia perlu perhatian dari tuannya.

Di Thailand, kerajaan menggalakkan pembelaan ikan guppy dalam bekas-bekas supaya dapat mengurangkan pelbagai penyakit yang disebabkan oleh nyamuk. 

Ikan guppy jantan sizenya lebih kecil dari ikan guppy betina dan ekornya lebih cantik serta colorful berbanding dengan ikan guppy betina. 

Ia senang beranak. Umur 3-4 bulan mereka sudah boleh bersenyawa dan beranak. Sekarang anak-anak ikan guppy aku yang dah umur dua bulan lebih, ada yang sudah besar dan mula "kejar-kejar" betina, aku dah asingkan dan kahwinkan mereka tanpa wali (sebab wali dia dah mati, akibat jangkitan virus dari ikan guppy lain. Sobs)

Cara beri makan ialah dua kali sehari. Tapi aku punya macam berkali-kali je tapi dalam kuantiti yang tak banyak. Sebab asalkan aku pergi dekat mereka akan buat muka kesian minta makanan. Terpaksala mama bagi makan. Haha. Aku bagi makanan biasa yang terdapat di kedai makan. Kadang-kadang bagi juga cacing-cacing. Kongsi dengan ikan Oscar dan ikan laga. 


Kalau nak basuh bekas, eloknya tinggalkan separuh atau 1/4 air yang lama. Aku pakai air paip saja. Tapi jangan lupa masukkan anti klorin. Tak perlu banyak. Jika bekas kecil dalam setitik-dua saja. 

Ikan guppy betina senang bunting, yang dah bunting, boleh tengok perut beliau kalau besar sangat. Itu maksudnya anda dah boleh asingkan dia dalam wad persalinan. Asingkan ayahnya sekali sebab ayahnya akan makan anak-anak tersebut. Biasanya ikan guppy mampu beranak antara 22-25 ekor. Ikan guppy aku dulu masa 1st batch, 16 ekor dan 2nd batch sebanyak 8 ekor.

Dalam wad persalinan harus tidak ada batu-batu. Sebab mengikut pemerhatian ku, anak ikan guppy yang baru lahir akan duduk di dasar bekas. Kalau ada batu nanti dia lekat tak pasal-pasal meninggal dunia nanti. 

Selepas mak dia dah habis bersalin, maka asingkan mak dia pula. Takut mak dia makan anak-anak tersebut.

Rumah-rumah ikan, sebaik-baiknya ada pokok-pokok dan batu-batu. Jadikan ia seperti dalam sungai-sungai. Pagi2 aku akan kenakan matahari sikit, biar mereka fresh.

Setakat ni aku belum study lagi pasal penyakit ikan guppy. Tapi setakat yang aku baca, kalau nampak ikan sakit cepat-cepat asingkan ke bekas lain. Selain itu, air bekas yang sebelum itu juga perlu dibersihkan agar ikan guppy yang lain tidak terkena penyakit. Ubat-ubat untuk bunuh bakteria boleh ke kedai-kedai ikan. Hoho.

Itu sajalah rasa. Hari-hari aku cakap pasal ikan. Sampai orang-orang yang rapat dengan aku hanya mampu dengar. Kui, kui, kui..

Aku nak upload gambar. Tapi asalkan aku cuba upload saja internet aku putus. Lalu aku pun putus angin juga. 


Siapa berminat nak ikan guppy meh amek.. Aku boleh bagi, tapi tak banyak la. Haha

: )

Selamat menunaikan ibadat di bulan Ramadhan.







Tuesday, May 22, 2012

Apakah Kayu Ukur Kejayaan Seseorang?

"Bukan aku tak nak sambung belajar, tapi kau sendiri boleh tengok kenapa aku tak dapat sambung. Adik beradik aku ramai. Mak ayah aku dah uzur. Kerja biasa-biasa saja. Adik-adik aku perlukan aku untuk support mereka. Sebab itu terpaksa aku kerja ni." 


"Aku mungkin akan sambung belajar. Tapi biarlah aku stable dulu sikit. Sekurang-kurangnya biar lepas adik-adik aku sekolah. Kau doakanlah aku."

"Babe, bodoh sangat ke aku.. Sampai ada orang yang menghina aku sebab aku tak belajar tinggi macam korang?"

Aku senyap. Tersentap dan terpukul dengan soalan beliau. Aduhai.. Sepatutnya bila kita belajar tinggi, ego kita makin tunduk. Tapi terbaliklah pula dunia sekarang!


Begitulah nasib seorang kawan sekolah aku. Impiannya untuk sambung belajar harus digadaikan buat sementara  untuk tanggungjawab yang lebih besar. Dia seorang yang solehah. Taat pada mak ayah dan sangat bertanggungjawab. 


Aku yakin, ramai yang senasib dengannya. Bukan mereka tidak mahu kehidupan yang lebih baik. Tipulah siapa tak nak kehidupan yang lebih baik. Belajar sesuatu bukan bererti kena masuk IPT. Tidak semestinya ambil diploma, ijazah mahupun PHD. Seandainya kita tidak memandang ilmu itu perlu dijamin dengan sekeping sijil, nescaya kita akan saling hormat menghormati kerana ilmu yang masing-masing ada.


Ilmu Allah SWT itu luas. Seandainya semua jenis lautan menjadi dakwat untuk menulis ilmu-ilmu Allah, tidak akan mampu habis menulis ilmu-ilmu itu!


Sekiranya kejayaan seseorang diukur dengan sekeping sijil, pastilah orang yang tak sambung belajar tak akan berjaya! Tipulah, aku tengok ramai yang mampu berjaya tanpa sekeping sijil.


Kejayaan kita kadang-kala tidak perlu sangat kongsi dengan orang. Jika untuk diambil ikhtibar, mungkin itu dibolehkan. Namun, seandainya ia untuk menunjuk-nunjuk, lebih baik kita diam saja.


Beza antara orang yang berjaya dan tidak.

Aku lihat ramai orang yang berjaya, majoritinya akan bercakap tentang kejayaan mereka bila perlu. Sebaliknya orang yang berjaya olok-olok, akan sentiasa ceritakan kejayaan dia yang dulu-dulu.


Bagi aku sebuah kejayaan bukan letak pada apakah pencapaiannya. Tapi lebih kepada ketenangan hati. Bayangkan sepasang ibubapa yang kaya raya, tetapi mempunyai anak-anak yang tidak boleh pakai dan sepasang ibubapa yang sederhana, namun anak-anak yang mampu menjadi penyejuk mata dan hati.. Siapakah sebenar lagi berjaya.


Rumahtangga Rasulullah SAW menjadi contoh pada ummat manusia dari masa baginda masih hidup sehingga pada hari ini. Kejayaan keluarga Rasulullah SAW dilihat bagaimana harmoni sesebuah rumah tersebut. Rasulullah SAW tiada banglo atau apa-apa yang melambangkan kekayaan duniawi, hanya kerendahan hati dan kegembiraan di antara mereka sahaja menjadi kayu ukur kejayaan sehingga ramai orang cemburu melihat mereka.


Semua kejayaan itu lebih kepada pencapai ketenangan hati.. Itulah sebenarnya kejayaan yang hakiki. Kejayaan dunia dilihat pada harta benda yang banyak sedangkan pada dasar hati berada dalam keadaan resah dan gelisah.


Siapalah kita untuk heboh-hebohkan sangat kejayaan sekiranya kita sentiasa ingat, Allah boleh tarik bila-bila sahaja nikmat kejayaan kita.


Dimanakah letaknya kejayaan kita sebenar? Di hati atau di harta kekayaan?




Saturday, January 14, 2012

24 Jam dan Ilmu

Teringat panggilan seorang sahabat kelmarin, menyatakan hasratnya untuk memberi job pada saya. Memang saya berminat dengan job tersebut. Namun, sedikit rasa sangat penat (mungkin sebab dah mula nak demam, badan sangat penat). Kata saya, kalau bulan ni macam tak sempat. Saya sedikit kesuntukan masa.

Alasan yang sangat bosan. 


Katanya, semua orang mempunyai masa 24 jam. Hanya kita saja yang akan menentukan 24 jam tersebut. Kita selalunya mengeluh tak cukup masa. Ya, benar sekali sedangkan dalam dunia ini semua orang mempunyai masa 24 jam dengan pencapaian yang berbeza-beza. Ada yang berjaya menggunakan 24 jam tersebut dengan baik sekali dan ada juga yang gagal.

Ketika saya masih di alam universiti, saya fikir masa kerja nanti akan lebih relax. Tiada assignment yang perlu disiapkan. Tak perlu ke kelas dan persatuan. Hanya 8 jam ke ofis, balik rumah dan terus tidur. Pemikiran saya salah. Jauh berbeza zaman universiti dan alam pekerjaan. Apabila masuk alam kerja, komitmen terhadap banyak perkara makin bertambah. Umur bertambah, tahap pemikiran juga semakin meningkat. Tiada zon selesa yang boleh duduk diam lama-lama. Apabila kerja juga, otak mula fikir macam-macam untuk tingkatkan pencapaian dalam kehidupan. Ingin belajar, cari rezeki lebih, beli apa-apa yang patut, rumah, kereta, kahwin dan macam-macam lagi. 


Menyesal

Terasa menyesal apabila renung balik masa yang telah disia-siakan zaman belajar dulu. Alam universitilah segala-galanya relax (bagi saya dan sesetengah pihak sahaja, bukan semua). Masa banyak dihabiskan dengan aktiviti tidak berfaedah. Untuk sentuh buku dan study hanya amalan bermusim saja. Berjaga sampai tak tidur hanya apabila dead-line (bukan dateline) mengejar. Semuanya dilakukan last minit. Namun, sedikit bersyukur kerana masih diberi peluang untuk aktif dalam persatuan-persatuan walaupun tak banyak. Dengan pengalaman yang ada, banyak membantu saya dalam alam bekerja. 


Demi Masa

Setiap kali habis meeting kita akan akhiri dengan tasbih kifarah dan surah al-Asr. Kenapa surah al-Asr? Adakah kita memahami dan menghayati surah ini setiap kali baca? Maksud surah, "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." Pernahkah fikir kenapa Allah turunkan surah ini sebagai peringatan pada kita? 

Senario yang berlaku setiap kali peperiksaan dan assignment. Dari awal pengajian sehingga akhir, kebanyakan kita akan hanya baca buku dan buat kerja apabila dah hampir masa sahaja. Kesannya kerja kita sekadar "asalkan siap" , tak efektif dan banyak kesalahan. 

Masa sia-sia kita banyak dihabiskan pada zaman muda. Sedangkan zaman mudalah sepatutnya gunakan masa dengan sebaik-baiknya. Tidak semestinya seseorang itu akan berjaya apabila dia sudah berumur. Lihatlah pada pencapaian Sultan Al-Fateh yang mampu menaluki Kota Konstantinople pada umur 21 tahun (kalau saya tak silap). Sungguh saya kagum dengan pencapaian beliau dan apabila dibandingkan dengan diri ini seperti belakang dan depan tangan. Pencapaian saya "zero"


Pesanan 

Pesanan ini adalah pesanan pada diri saya sekiranya saya mampu putar balik waktu yang telah disia-siakan dan sahabat-sahabat yang lain. Semasa belajar, manfaatkan masa dengan betul. Tingkatkan skill dalam diri kita semua. Caranya macam mana? Caranya banyak iaitu formal dan tidak formal. Tapi saya lebih suka pada tidak formal supaya kita tak rasa berat sangat nak belajar. 

Ilmu perlu ditingkatkan dari masa ke semasa. Mungkin bukan ilmu dalam kelas tapi ilmu luar kelas seperti baca outsources book, join mana-mana program, aktifkan diri dalam persatuan, perbanyakkan bercakap dan berkongsi pengalaman dengan orang yang sudah bekerja dan berjaya. Banyak ilmu yang kita perlu belajar sebenarnya. Contoh seperti ilmu adobe photoshop, jalan raya di sekitar tempat anda, harga barang-barang seperti perabot, jenis-jenis kayu yang sesuai. Cat-cat rumah yang cantik dan murah, tempat-tempat menarik untuk melancong, buku-buku yang best seller dan sebagainya. 

Apabila keluar jalan-jalan dengan kawan, jangan melihat berjalan itu sekadar membuang masa. Kita boleh jadikan dengan aktiviti "lepak" itu sebagai aktiviti yang bermanfaat, hanya kita saja yang perlu kreatif masukkan input dalam aktiviti kita. Contoh seperti aktiviti duduk di tempat orang ramai. Cuba lihat gelagat manusia dan kaitkan dengan apa yang telah diajar oleh Allah dan Rasulullah. Tidak banyak mungkin kita dapat tapi insya Allah sedikit pun dah bermanfaat. Manfaat pada masa yang dihabiskan untuk berfikir dan juga tambah ilmu serta keinsafan dalam diri. 

Akhir kata

Apa-apa pun, selalu tingkatkan ilmu dalam diri kita. Yang sesuai dengan keadaan dan masa. Saya teringat kata-kata sahabat saya, Kakak Ummu Solehah dalam blognya, "Seorang posmen baca buku mengenai hukum hidraulik & termodinamik, seorang hakim baca kitab perubatan ibnu sina, seorang arkitek baca kitab perundangan, seorang doktor menyelidiki ilmu geologi, atau mungkin... seorang ustazah belajar tentang ilmu pegemudian pesawat! ™"


:)

Semoga bermanfaat. Wallahualam