Wednesday, November 23, 2011

Ayam Madu

Kita selalu ditekankan tentang makna memberi dalam kehidupan. Tidak pasti ditekankan oleh siapa. Mungkin dalam kebanyakan ilmu termasuk al-Quran dan hadis memberi ini menjadi topik besar. Orang kata, tangan yang memberi itu lebih baik dari menerima. Syukur pada Allah, saya diberi peluang untuk berada dalam kalangan orang-orang yang tak habis-habis bekerja semata-mata untuk memberikan sesuatu untuk orang lain. Perjuangan mereka begitu hebat, sehingga saya sendiri masih belum mampu mengikuti mereka, belum mampu...

Kerja pagi sehingga lewat malam, setiap hari tanpa rasa penat. Ke sana ke sini, buatkan majlis ilmu, program demi menyelamat dan menyampaikan ilmu Islamiah kepada ummat manusia. Manusia apakah ini.. Disamping sibuk di tengah kerja-kerja beliau, sempatlah ambil kisah tentang mereka-mereka yang dalam kesusahan. Semuanya dilakukan kerana Allah. 

Siapa sangka, di Malaysia yang serba kaya ini masih ada lagi mereka yang bernasib kurang baik. Semalam saya dan sahabat-sahabat, pergi ke pasar malam. Belikan makanan untuk dikongsi bersama. Seorang adik bernama Khadijah (bukan nama sebenar) ikut kami. Kami belikan beberapa makanan untuknya termasuklah sayap ayam madu.

Beliau seorang dari keluarga yang susah. Adik beradik 14 orang. Tidak pasti pula apa pekerjaan ibu bapanya. Apa yang saya tahu ialah rumah beliau sangat daif sehingga tiada air selama setahun! Setahun.. Kalau kita sehari pun dah resah. Apatah lagi dengan setahun?

Semasa makan sayap ayam, beliau makan dengan sopan-sopannya. Jikalau kita, sudah pasti ayam itu akan digigit-gigit tanpa rasa malu. Sebenarnya dia bersopan-santun sebab giginya rosak. Mungkin disebabkan oleh ketiadaan air di rumahnya menjadi faktor dia kurang menjaga gigi. Saya tak terfikir pula pasal gigi beliau lalu usik-usiknya. Serba salah pula jadi bila sahabat saya memaklumkan kenapa beliau tak gigit ayam. 

Bukanlah saya nak fokuskan ketiadaan gigi beliau. Tapi percayakah kita bahawa masih ada mereka seperti ini? Sebenarnya ramai yang dalam kesusahan tapi berapa banyak dari kita turun padang dan tolongkan mereka bersungguh-sungguh?

Saya teringatkan seorang abang yang dihormati, warga Global Peace Mission. Kata beliau apa yang penting bukanlah jumlah wang yang diterima. Tapi rasa ingin menolong, ingin menderma itulah sepatutnya dipupukkan dari semasa kecil dan berterusan kerana ia patut menjadi amalan untuk jangka yang panjang. 

Mungkin kita tidak mampu buat perkara besar-besar. Mungkin juga tiada harta benda yang banyak. Tapi jika hati nak, apa-apa pun kita boleh lakukan terutamanya dengan hati. 

Saya berdoa semoga saya dan anda-anda seperti mereka diatas. Sabar dan tabah dalam memberi pada orang lain. Istiqamah itu penting. Kata-kata seorang ustaz, kita mudah mendapat hidayah untuk kembali ke pangkal jalan. Namun, begitu sukar untuk menerima hidayah untuk istiqamah dalam urusan. Salah siapa? Salah kita atau Tuhan? Tuhan tidak pernah salah, salah kita kerana terlalu ego sehingga tidak berdoa mendapatkan hidayah untuk istiqamah.

Semoga Allah rahmati. 

1 comments:

Hannis said...

hidup untuk memberi..itu yg ramai diantara kita tidak sedar..lupa didalam rezeki yg kita perolehi, ada bahagian utk org lain...lupo pah ceroh!