Wednesday, December 14, 2011

Kasih Sayang Seorang, AYAH.

Saya tak pasti "ke-erat-an" hubungan antara saya dan ayah sebenarnya macam mana. Sekali lagi saya akan gunakan alasan sebab saya duduk jauh dengan keluarga, saya tak berapa rapat sangat.

Ayah dan ibu saya seorang yang melepaskan saya buat keputusan sendiri. Walau bagaimanapun, kadang-kala saya akan minta nasihat dari mereka jua sekiranya perkara itu besar dan sekiranya ia perlu.

Ayah saya seorang yang baik, suka menolong orang walaupun panas baran. Dulu-dulu sangat panas baran tapi kebelakangan ni selepas beliau menunaikan haji dan umur semakin bertambah, beliau dah jadi semakin penyabar. Dia adalah "hak milik" masyarakat. Saya tak pernah terasa hati sekiranya ayah jarang sangat datang Malaysia untuk melawat saya (pernah sekali saja rasa, masa tu kat Kelantan). Tak pernah terasa sedikit pun ketika konvo ayah tak dapat datang. Sebab saya tahu, masih ramai lagi memerlukan ayah saya di kampung.

Tapi ayah juga seorang yang "romantik". Kalau tengah basuh pinggan, dia lalu dan dia akan berhenti dekat kami anak-anak, dikucup dahinya sebagai tanda kasih sayang. Romantik kan ayah saya? Sungguh saya rindukan kucupan ayah itu.

Ayah tak belajar tinggi macam orang lain. Biasa-biasa saja. Hidupnya banyak belajar dari pengalaman. Pengalaman tersebut diajarkan pada kami anak-anak supaya tak mengulangi kesilapan tersebut. Ayah juga selalu ingatkan kami agar sentiasa buat baik dan berbakti pada orang. Jangan berhenti memberi.

Kata ayah lagi, "Buat baik tiada di pasaran, kalau mahu, lakukannya sendiri."


*************

Itu kisah ayah saya, mungkin berbeza dengan seorang "ayah" pada seseorang.

Ketika itu saya tunggu sahabat saya dalam kereta. Beliau ke bank untuk ambil duit. Tengah asyik melayan ayat Quran sambil main hp, seorang bapa datang tepi kereta. Terkejut, tiba-tiba saja beliau muncul.

Saya buka pintu tanpa ragu-ragu lalu beliau merendahkan diri dan duduk untuk cakap dengan saya. Saya tak suka, tak diajar duduk lebih tinggi dari orang tua.. Beliau seorang yang sudah berumur, mungkin dalam 60-an. Jual keropok. Saya sudah dapat agak yang pakcik ini datang dari Selatan Thai. Tekaan saya tepat.

Saya minta beliau bagun, tapi kata beliau "Takpo, pokcik yang cari cikgu." 

Tapi saya minta beliau bagun juga dan akhirnya beliau bagun. 

Katanya jual keropok ini untuk anaknya di pondok yang belajar agama. Saya dapat lihat keikhlasannya. Saya sebenarnya tak suka tengok ayah atau ibu jual macam tu. Terbayang sekiranya ayah dan ibu saya buat kerja sedemikian untuk menyara anak-anak. Penat. Angkat barang berat, berjalan merata dan tebalkan muka untuk mendapatkan hasil jualan. Panas sehingga berbau badan..

Saya tak kaya untuk beli semua keropok beliau, satu saja saya beli untuk membantu. Bila saya beli, beliau ucapan Alhamdulillah berkali-kali. Berterima kasih pada saya kerana tolong..

Paling saya sebak, beliau mendoakan saya. Beliau panggil saya cikgu, mungkin sebab gaya pakaian saya seperti seorang cikgu. 

Katanya loghat Kelate (nasib baiklah membesar di Kelate, saya faham apa yang beliau sampaikan)

"Cikgu jaga diri deh. Duk tempat orang lain ni, orang jahat ramai. Pintu-pintu kereta kena selalu kunci. Banyak ingatkan Allah!"


*************

Itu kisah ayah saya dan ayah orang lain. Masing-masing mempunyai keistimewaan sendiri. Hanya sejauh mana kita menghargai mereka.

Saya suka bila dengar orang-orang menjawab "Ya, mak." atau "Ya, ayah" daripada "Apa dia..." atau "Haih.." apabila ayah dan ibu panggil.

Lihatlah keistimewaan ayah anda. Mungkin beliau kurang bercakap atau tunjukkan kasih sayang mereka terhadap kita. Tapi saya yakin, setiap ayah pasti sayangkan anak-anaknya.

Lakukan perkara kecil-kecil sekiranya mampu. Bila ayah balik rumah, segera sediakan air untuk beliau. Urut-urut kaki, tolong buang stokin dan sebagainya. Insya Allah, sejuk hati ayah. 

Kita mungkin tak mampu buat perkara baik sentiasa. Tak mampu sentiasa sejukkan hati ayah. Tapi biarlah perkara kecil-kecil seperti itu menjadi "top-up" kasih sayang kita terhadap ayah. 

Mampu bukan? Selamat mencuba. 



1 comments:

ku syuk said...

MasyaAllah sweetnya papa kamu ^^

doakan aku sentiasa tabah neem.