Wednesday, December 7, 2011

Benarkah kita sudah berkorban?

Tadi saya bersama sahabat-sahabat ke Kampung Kubu Gajah 16 untuk Majlis Sambutan Hari Assyura dan Maal Hijrah. 60% peserta dalam program adalah kanak-kanak sekolah rendah dan awal sekolah menengah. Dato' Haji Mohammad Zakaria yang memberikan ceramah. 

Dalam ceramah yang disampaikan, beliau mengisahkan beberapa sirah para nabi. Secara ringkasnya ialah penghijrahan kaum Muhajirin ke Madinah dan pengorbanan kaum Ansar terhadap rombongan Rasulullah SAW. Pengorbanan Kaum Ansar sangat besar sehingga buatkan saya terfikir, adakah kita mampu lakukan sedemikian? Mampu memberikan harta benda pada mereka yang berhijrah, mampu menceraikan salah seorang isteri untuk berkhidmat pada suaminya yang dari kaum Muhajirin dan lain-lain demi sebuah ukhwah Islamiah?

Saya tidak pasti adakah anak-anak dalam majlis tersebut faham atau tidak maksud sebuah pengorbanan yang disampaikan oleh ustaz. 

Selepas habis ceramah, seterusnya sesi penyampaian hadiah. Hadiah diberikan pada mereka-mereka yang terlibat dalam pertandingan melukis dan mewarna. Seorang anak kecil, jangkaan saya dalam umur 4 tahun seronok tengok abang-abang dan kakak-kakak sekampung dengannya dapat hadiah. Dengan penuh harapan dia akan dapat hadiah seperti mereka sambil "menari" comel. Saya ada ambil gambarnya tapi dengan kamera orang lain. 

Ternyata dia tak dapat hadiah tersebut. Dia sangat teruja sehingga berdiri di tempat orang ambil hadiah menunggu gilirannya. Saya hanya perhati gerak geri anak tersebut. Sehinggalah apabila sesi penyampaian hadiah dah habis, dia seolah-olah kecewa, "kenapa saya tak dapat hadiah seperti mereka?"

Kejadian ini menyebabkan dia bertindak "ganas" (secara kanak-kanak). Sesiapa yang memegang hadiah akan jadi mangsa. Beliau akan pergi tarik-tarik dan menagis untuk memiliki hadiah tersebut.

Saya hanya perhati. Sekiranya "pengorbanan" itu betul-betul diserapkan dalam jiwa anak-anak itu, pasti akan ada seorang yang "mengorbankan" hadiah untuk adik tersebut.

Malangnya tiada. Namun, adik itu berjaya "merampas" hadiah dari seorang abang bernama Soleh. Tidak pasti pula Soleh dapat hadiah number berapa. Namun saya yakin, Soleh pasti sedih dan tak sabar nak buka hadiah yang diberikan. 

Saya yang pujuk Soleh. Tapi tak dapat lama... Saya kata, kita bagi adik hadiah tu. Esok kita beli hadiah yang baru, ye? Soleh seperti pasrah. Melepaskan hadiah itu dengan raut wajah yang sedih namun dia ok dengan perjanjian saya. Semoga akhlak mu sebaik nama mu wahai Soleh!

Sebuah pengorbanan perlu didik dari kecil. Mengajar anak-anak untuk mengutamakan orang lain seperti adik utamakan kakak dan kakak utamakan adik. Dalam situasi ini mengajar mereka untuk lebih bersabar dalam berurusan dengan orang lain kerana yakin yang dalam setiap rundingan perlu ada "gives and takes"

Jika dalam bahasa Thai, perkataan korban banyak digunakan. Dalam keluarga mahupun masyarakat dan kawan-kawan. Kakak korbankan nasi itu untuk adik dan adik korbankan nasi itu untuk kakak. Akhirnya semua orang saling mengorbankan hak masing-masing demi mencapai kesejahteraan dan menambahkan kasih sayang antara kita. Itu yang mak dan ayah sentiasa tekankan. Sampai sekarang, alhamdulillah. Tiada gaduhan antara kami adik beradik sebab semua orang saling "berkorban"

Apa yang penting ialah, ikhlas dan tiada ungkitan selepas pengorbanan tersebut dilakukan.

Sudah berkorbankah kita? Bermulalah pada diri sendiri dan kemudian ajak ahli keluarga kita sama-sama berkorban walau sekecil-kecil perkara. Mari muhasabah diri. 

0 comments: